Ahad, 15 September 2013

SALAM UKHWAH


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Segala puji bagi Allah yang pada-Nya terpegang segala takdir yang ditetapkan untuk kita yang bergelar manusia.  Andai ada perkara baik yang tercipta, Dialah yang memberi daya upaya. Andai buruk pula persembahannya, hanya Dia jugalah yang lebih mengetahui kelemahan kita dan berupaya mengampuninya.

Alhamdulillah, hari ini diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk memulakan sesuatu yang sudah lama saya tinggalkan. Menulis blog! Tidak ingat bilakah kali terakhir saya membuat catatan di blog kerana blog lama itu pun sudah tidak saya temui lagi di mana dan tidak ingat lagi passwordnya. 

Sejak ada Facebook sebagai medium pertemuan dengan rakan-rakan alam maya, dunia blog dan forum alam maya sudah  lama saya lupakan. Lebih mudah bersembang di Facebook sahaja. Begitu pada perkiraan saya. Kata pepatah, sudah ada gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Namun, hari ini saya terpaksa 'menagih kasihnya' kembali. 


Kata sifu-sifu penulisan saya, jangan lupakan blog! Maklumat di Facebook boleh hilang sekelip mata, maka blog sepatutnya terus disuburkan sebagai backup segala bahan perkongsian cerita kita. Ya, perkongsian cerita-cerita yang akan kita tinggalkan kepada dunia. Benar kata sahabat saya, setiap yang bernyawa ada kisah dan pengalamannya. Sama ada ia mahu dicatat dan dipersembahkan kepada dunia untuk menjadi ilmu dan pengajaran buat mereka, atau mahu kekal menjadi rahsia bersama 'hilangnya' kita dari dunia. Semuanya terpulang kepada budi bicara dan perkiraan kita. 

Saya pilih untuk berkongsi. Segala ilmu, pengalaman dan pengajaran yang pernah saya kutip selama mana Allah izinkan saya bernyawa di muka bumi ini akan saya saring dan kongsikan apa yang dianggap penting. Mana yang difikirkan baik dan bermanfaat kepada orang lain akan saya kongsikan di sini, manakala sebahagiannya lagi biarlah  kekal menjadi rahsia hidup saya dan di bawa mati. 

Apa pun, saya  berharap agar setiap perkongsian yang dibuat mampu memberikan manfaat. Bukan sekadar untuk menjadi bekal buat saya selepas saya meninggal dunia, malah biarlah menjadi sesuatu yang baik dan berguna buat sesiapa sahaja yang membacanya. 

Salam ukhwah daripada saya di catatan pertama. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan